Tiba pula giliran Siri Rahsia untuk aku rekod review berkenaannya. Sebelum itu, 3 minggu lepas aku berpeluang menonton filem Enid yang diterbitkan pada tahun 2009. Sungguh tak sangka, kisah Enid Blyton dalam cerita itu sangat buruk, kehidupan & perangai Enid sangat berlawanan dengan cerita dalam karya dan hasil penulisannya. Ramai penyokong & peminat Enid Blyton menolak cerita tersebut kerana 70% jalan ceritanya memburukkan Enid, bagi aku hasil karyanya sangat bagus tapi hilang sedikit rasa kagum terhadap keperibadian Enid Blyton. Kehebatan beliau terletak pada penulisan, realiti kehidupan tidak seperti digambarkan.
Siri Rahsia mempunyai 5 buku yang ditulis Enid Blyton, kisah sekumpulan kanak-kanak yang seakan-akan kumpulan Siri Misteri R’ atau Misteri Barney tetapi kumpulan ini jauh sedikit pengembaraannya, tapi tak sejauh kanak-kanak dalam Siri Pengembaraan. Kumpulan ini tak ada haiwan peliharaan tapi ada ‘pengawal peribadi’ dan seorang pengasuh yang tegas. Memang takda haiwan langsung kecuali beberapa haiwan ternakan dalam kisah Pulau Rahsia.
Watak-watak utama dalam Siri Rahsia ini adalah
Jack iaitu seorang anak yatim piatu dan dijadikan abang angkat kepada anak-anak pasangan Kapten D’Cruz dan Puan D’Cruz,
Mike dan Nora pasangan adik beradik kembar.
Peggy iaitu kakak kepada pasangan kembar tadi.
Satu lagi watak utama adalah Pengiran Ahmad iaitu seorang putera raja Negara Banda atau dalam versi asal Prince Paul dari Negara Baronia. Watak putera raja ini membuatkan aku terbayang kemungkinan ia merujuk putera dari Negara Brunei kot.
Namun begitu watak Pengiran Ahmad mulai muncul dalam buku kedua siri ini iaitu Rahsia Kota Sarang dan buku seterusnya. Pengawal peribadi putera ini yang bernama Ranni dan juga Pilus turut serta dalam setiap pengembaraan yang melibatkan putera sekaligus menjadi pengawal kumpulan kanak-kanak ini bersama-sama Cik Nadimah atau seorang gadis digelar Dimmy, tapi Dimmy adalah pengasuh yang sentiasa menemani mereka dalam percutian dan tak terlibat dalam pengembaraan. Jadi mungkin dari situasi inilah ditiadakan haiwan dalam siri ini kot sebab dah kira selamat.
Agak mewah sedikit siri ini kerana melibatkan kehidupan bersama putera raja, ada beberapa kisahnya melibatkan kehidupan dan suasana dalam istana, ternyata kisah-kisah sebegini memang hebat dan luar biasa sebab sebagai kanak-kanak biasa memang pernah terbayang untuk tinggal dalam istana jadi ia memang satu pengembaraan yang menarik dan menakjubkan. Kebiasaanya kumpulan ini bergerak ke sesuatu tempat dengan kapal terbang persendirian milik putera tersebut.
Tajuk-tajuk buku dalam Siri Rahsia adalah
1. Pulau Rahsia atau The Secret Island
2. Rahsia Kota Sarang atau The Secret Of Spiggy Holes
3. Gunung Rahsia atau The Secret Mountain
4. Rahsia Gunung Gagak atau The Secret Of Killimooin
5. Rahsia Istana Purnama atau The Secret Of Moon Castle
Boleh dikesan, kesemua tajuk bukunya ada perkataan ‘rahsia’, tapi buku yang aku ada iaitu keluaran tahun 1985 bertajuk Misteri Istana Purnama. Rasanya salah tajuk ni, tapi ceritanya menghiburkan. Inilah buku kedua yang aku baca dalam jujukan Siri Rahsia ini. Buku pertama yang memperkenalkan aku dengan siri ini adalah Pulau Rahsia yang sangat hebat jalan ceritanya, malahan dikatakan ia karya terbaik Enid Blyton. Kisah kehidupan/pengembaraan kanak-kanak di pulau dalam siri ini mengatasi kehebatan kisah kanak-kanak di pulau yang lain seperti Lima Sekawan Di Pulau Pusaka dan Pengembaraan Di Pulau atau Pulau Pengembaraan. Satu lagi elemen unik dalam kisah Pulau Rahsia adalah tiada penjahat dalam kisah ini kecuali kumpulan ini cuba hidup sendirian kerana tidak tahan dengan keluarga tiri.
Aku cuma ada 2 buku original bagi siri ini iaitu Rahsia Gunung Gagak dan Misteri Istana Purnama, kedua-duanya terbitan Hasratpelajar tahun 1987 & 1985. Buku Pulau Rahsia yang pernah aku baca masa sekolah rendah milik Perpustakaan Sekolah Rendah Pasir Pekan, ntah lah apa jadi dengan buku tu, sayang sungguh tak dapat memilikinya. 2 lagi tajuk iaitu Gunung Rahsia dan Rahsia Kota Sarang pun pernah baca tapi Gunung Rahsia aku baca versi Inggeris manakala Rahsia Kota Sarang pula aku baca edisi keluaran tahun 2000 yang telah diringkaskan justeru memang tak syok. Jadi kesimpulan awalnya kisah Misteri Istana Purnama dan Rahsia Gunung Gagak best, yang lain-lain pun best.
Terkini, aku dah berjaya buat scanbook Pulau Rahsia edisi Hasratpelajar 1987. Rupanya nama watak-wataknya berbeza dengan turutan cerita buku-buku selepasnya. Kemungkinan besar sewaktu terjemahan awal, kumpulan penterjemah tidak pasti buku ini mempunyai kesinambungan dengan buku-buku lain. Huhu
hai bole tau mcm mn nak dptkan buku cerita pengembaraan enid blyton
ReplyDeleteHi, Kena rajin mencari di kedai buku lama atau ke perpustakaan or ke Chowrasta
Delete