Search This Blog

Wednesday, March 16, 2011

Review MISTERI PERMATA EMBUN @ THE MYSTERY OF THE FIERY EYE


Antara kes yang terbaik dalam Siri Alfred Hitchcock & Tiga Penyiasat pernah aku baca adalah Misteri Permata Embun atau tajuk asalnya The Mystery Of The Fiery Eye. Ianya kes atau misteri ke 7 bagi Tiga Penyiasat hasil tulisan penulis asal Robert Arthur. Banyak yang menarik pasal kes kali ini seperti berkenaan pentingnya masa, waktu kes berlaku, bagaimana misteri bermula dan penyelesaiannya yang dramatik serta sumpahan yang berjaya dipatahkan dengan sumpahan.
Watak-watak dalam kes kali ini adalah Ramazan, Husin Albakri @ Wahab, Encik Doraisamy, Rama Sidri Rhandur, Hud, Yong dan beberapa watak lagi. Buku yang ada dalam simpanan aku ni terbitan Hasratpelajar tahun 1985, tapi aku mula-mula baca cerita ni melalui buku terbitan tahun 1990 yang dah diringkaskan, so sangat puas hati bila dapat jumpa dan memiliki buku 1985 ini lebih-lebih lagi kerana isinya seakan-akan sama dengan versi Inggeris. Terjemahannya tepat walaupun ada klue yang diubah mengikut kesesuaian Malaysia.
Antara terjemahan yang diubah mengikut kesesuaian tetapi melibatkan klue utama adalah nama watak pentingnya iaitu Ramazan. Dalam versi Inggeris, watak tersebut dinamakan August August yang dilahirkan dalam bulan Ogos yang sangat bermakna kepada klue dalam misteri ini. Kesesuaian dibuat dengan watak penting dinamakan Ramazan yang diambil sempena nama bulan Ramadhan, kes ini berlaku dalam bulan puasa so Jalil digambarkan menjalani ibadah puasa, sesuatu yang aku baru tahu sebab dalam edisi tahun 1990 tidak disebut perkara ini. Jadi kali ini kesesuaian terjemahan bukan sahaja kepada nama watak, tempat berlaku tetapi juga tradisi dan agama. Hebat
Di awal kes kali ini juga ada diceritakan bagaimana Jalil menggunakan logik sewaktu mendapatkan hak penggunaan kenderaan Roll Royce yang telah tamat tempoh penggunaan selama 30 hari dengan bijak. Walaupun tak begitu berjaya kerana hanya dapat melanjutkan penggunaannya untuk 2 kali sahaja selepas tempoh, tetapi hujahannya memang berisi. Mungkin semasa membacanya waktu budak-budak aku boleh jadi belum matang, tapi bila aku baca balik part ni sekarang, kebijaksanaan tu memang ada dan pada anggapan aku masih bijak. Kalau cabar dalam mahkamah sekalipun rasanya terma yang dicatatkan dalam hadiah pertandingan tu memang memihak Jalil & the gang iaitu Tiga Penyiasat berhak menggunakan kenderaan tersebut selama 30 hari dengan 24 jam sehari atau dalam kata lain selama 720 jam. Apapun, diakhir kes ini, Tiga Penyiasat telah berjaya mendapatkan hak menggunakan kenderaan tersebut bila-bila masa selepas membantu menyelesaikan kes Misteri Permata Embun ini.
Kes atau masalah seperti biasa diperkenalkan oleh Alfred Hitchcock, kali ini kesnya ialah mengenai seorang remaja ditinggalkan/diwasiatkan sebuah barang berharga, tapi tidak tahu apakah barang tersebut dan di mana barang atau harta tersebut berada. Hanya sepucuk surat sahaja yang menjadi petunjuk awal iaitu surat dari Husin Albakri kepada cucu saudaranya iaitu Ramazan yang sangat menarik dan penuh misteri sebagai panduan Tiga Peyiasat merungkainya. Kandungan surat tersebut seperti berikut :

“Kepada Mohd Ramazan, cucu saudaraku
Ramazan namamu, dan Ramazan gelaranmu dan dalam Ramazan pusakamu. Usah biarkan kesulitan menghalangmu, bayangan kelahiranmu menandakan permulaan dan penghabisannya.
Renungkanlah dengan mendalam, maksud kata-kataku ini hanyalah untukmu sahaja. Aku tidak dapat berterus terang kelak diketahui orang apa hakmu. Ia kepunyaanku, aku belinya dan aku memilikinya, namun tak pernah aku uji sumpahnya.
Kini lima puluh tahun telah berlalu dan dalam masa setengah abad ini ianya telah bersih. Namun ia tidak boleh dirampas atau dicuri, ia harus dibeli, diberi atau dijumpai.
Oleh itu jagalah ia, dan kerana masa itu penting. Ini dan sepenuh cintaku aku tinggalkan padamu.
Husin Albakri.”

Isi surat ni ada bahagian yang tak diterjemahkan dengan betul seperti versi asal tapi kira oklah sebab tak menyimpang dari maksud/pembayangnya.
Bahagian-bahagian lain yang menarik dalam kes ini antaranya berkenaan penggunaan sekali lagi Gerakan Sebar atau Ghost to Ghost Hookup yang hebat, seingat aku kali pertama Tiga Penyiasat menggunakannya sewaktu kes Misteri Burung Kakak Tua, kisah sewaktu proses mengenalpasti di mana Permata Embun tersimpan pun menarik, banyak tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat persembunyian tetapi kalau ikuti dengan betul klue yang ditinggalkan, ia akan menunjukkan tempat persembunyian dalam kepala boneka yang sebenarnya, kepala boneka yang salah mempunyai permata palsu, kepala boneka yang betul meninggalkan satu lagi surat atau petunjuk berharga, babak penipuan peguam yang berjaya dikesan oleh Jalil pun menarik dan penuh tanda tanya, mengesan lokasi sebenar Permata Embun disimpan juga sangat menarik tapi tak daya aku nak menulis lagi, tengah busy ni tapi hobi punya pasal ku gagahi juga. Harap anda yang berkesempatan membacanya boleh enjoy, dah boleh teka dah kat mana permata tu disimpan sebelum habis baca serta harap puas hati dan pastikan edisi yang dibaca bukan edisi yang telah diringkaskan.

2 comments:

  1. perlukan pembaca blog ini... mmm

    hanya novel ini minat tuan hamba?

    ReplyDelete
  2. Antara bahan bacaan yang diminati, mungkin kerana nostalgianya. Huhu

    ReplyDelete